Kenyataan Media
Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Kebajikan & Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor
EXCO Kerajaan Negeri Selangor,
Yang Berhormat Puan Hajah Rodziah binti Ismail
16 Ogos 2013
Lelaki Prihatin Boleh Hapuskan Keganasan Terhadap Wanita
Lelaki yang bertanggungjawab dan peka tentang hak wanita dan undang-undang telah banyak membantu wanita, anugerah Tuhan yang istimewa, mendapat pembelaan dan keadilan dalam keadaan mereka dicerca, didiskriminasi, didera dan diganasi secara mental, fizikal, emosi dan seksual. Sejarah tamadun manusia telah membuktikannya.
Kes video yang mempamerkan wanita dipukul semahunya oleh suami menjadi isu hangat kini. Video yang telah disebarluaskan melalui media sosial oleh anggota keluarga lelaki mangsa adalah contoh terbaik yang menunjukkan rasa tanggungjawab para lelaki yang peka dan prihatin, bagi memastikan wanita-wanita di bawah perlindungan mereka mendapat keadilan dan sama sekali tidak diperlakukan sewenangnya oleh lelaki yang telah kehilangan pedoman dan sengaja ingin mencedera dan merosakkan kehidupan wanita. Lebih malang, lagi lelaki itulah yang telah diamanahkan melindungi wanita tersebut tetapi telah berbuat sebaliknya.
Video yang menjadi viral itu telah mendapat reaksi dari pihak berkuasa seperti yang diharapkan.
Pengajaran dalam kehidupan yang dibentuk oleh kepercayaan bahawa insan itu dicipta oleh Allah Yang Maha Esa menjelaskan bahawa walau apapun kesalahan isteri itu, beliau tidak patut diganasi dan disakiti dengan apa cara sekalipun, sementelahan pula jika tiada apa kesalahan yang telah dilakukan.
Apakah solusi kepada gejala sosial sedemikian dalam masyarakat kini, yang sedang meningkat dan boleh menjadi kelaziman?
Ia bukan soalan yang mudah dijawab, tetapi tidak pula mustahil dijawab dan dilaksanakan sebaik mungkin. Kesungguhan melaksanakannya sebahagian besarnya terletak kepada kuasa yang mampu menggerakkan segala jentera dan anggota yang beramanah untuk melaksanakannya. Kerajaan persekutuan didesak supaya menghentikan sebarang diskriminasi dalam memaksimakan penggemblengan anggota penguatkuasaan undang-undang bagi menangani segala bentuk keganasan terhadap insan khususnya wanita di negeri Selangor.
Sementara menunggu keputusan dan tindakan kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor telah merancang untuk menggerakkan polis komuniti dan meletakkan alat pengawasan (CCTV) sebagai langkah memelihara keselamatan rakyat di kawasan-kawasan yang releven. Disamping itu kerajaan Negeri Selangor juga akan memperhebatkan advokasi (RM500 ribu telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut) mengenai Pusat Krisis Sehenti (OSCC) dan mempertingkatkan perkhidmatannya untuk mangsa keganasan serta menambah pusat-pusat perlindungan dengan kerjasama LPHS. Usaha selari advokasi gender (yang melibatkan juga usaha memahami sensitiviti maskuliniti dan kelelakian, masculinity and manhood), perlindungan dan pendakwaan juga akan diberi tumpuan bagi menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita. Kerajaan Selangor sedang berusaha memulakan kempen Lelaki Menentang Keganasan terhadap Wanita (Men Anti-Violence Against Women).
Wajarnya isu keganasan terhadap wanita ini tidak perlu disensasikan bagi mendapatkan keadilan dan reaksi tepat para penguatkuasa. Setiap laporan sepatutnya memadai sebagai asas tindakan penguatkuasaan.
Kerajaan Negeri Selangor ingin melakukan semaksima mungkin usaha-usaha pencegahan, perlindungan dan pendakwaan bagi menangani jenayah keganasan terhadap wanita. Ia memerlukan kerjasama erat kerajaan persekutuan secara tersusun dan sistematik (Kenyataan Media saya bertarikh 26 Julai 2012 adalah dirujuk). Kelekehan dan kegagalannya akan meletakkan rakyat, khususnya wanita dalam keadaan tertekan dan tidak selamat.
Rodziah Ismail
Merangkap ADUN Batu Tiga
Timbalan Ketua Wanita Pusat
dan Ketua Wanita Selangor
Parti Keadilan Rakyat
_______________________________________________________________________________
Untuk sebarang pertanyaan mengenai kenyataan di atas, sila hubungi:
Media Rodziah Ismail, Tel.03-55447622, emel: media.rodziahismail@gmail.com