Archive | Agama RSS feed for this section

Kembali kepada Fitrah Insan, Selamat Menyambut Hari Raya Ei’dul Fitr 1434H/2013M

6 Aug

Selamat Hari Raya Ei'dulfitr

Perutusan Hari Raya Ei’dulfitr 1434H/2013M

Pengerusi

Jawatankuasa Tetap Kebajikan & Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor

EXCO Kerajaan Negeri Selangor,

Yang Berhormat Puan Hajah Rodziah binti Ismail

 

5 Ogos 2013 

Kerajaan dan Rakyat Saling Melengkapi

Usaha dan Amanah Mensejahtera Rakyat

Amatlah buruk padahnya jika tiada mawaddah dan rahmah (belas kasihan dan kasih sayang) di kalangan rakyat dan kerajaan yang memimpin mereka.   Kemuncaknya adalah anarki seperti yang sedang berlaku di beberapa negara di dunia; keadaan tidak terkawal dan manusia saling mencederakan dan berbunuh sesama sendiri.

Kekontangan mawaddah dan rahmah itu boleh juga diperhatikan daripada bencana-bencana yang berlaku hasil kecuaian yang disengajakan oleh tangan-tangan manusia durjana – bangunan runtuh, tanah runtuh, banjir-banjir kilat di merata-rata tempat sekoyong-koyong tiba hujan lebat, jenayah berat yang berleluasa, pemerdagangan manusia tanpa halangan, korupsi yang menjadi budaya, kekayaan negara yang tiada diketahui bagaimana ia disalur dan dibelanjakan, yang lemah tiada tempat mengadu dan tiada mendapat keadilan serta seribu satu macam lagi insiden – kesemuanya membuatkan insan berasa tidak selamat dan aman, kerana golongan durjana itu yang berasa selamat dan aman melaksanakan segala bentuk kedurjanaan dan tiada siapa yang akan mengganggu-gugat mereka.

Apakah jalan terbaik untuk memenuhi fitrah insan – itulah roh dan intipati sambutan Hari Raya Ei’dulfitr yang disambut saban tahun oleh umat Islam dan diketahui umum oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama? Eidulfitr ialah Hari Fitrah.

Fitrah insan merangkumi jasad, spiritual, mental, emosi dan unsur-unsur lain yang melengkapkan insan untuk berupaya mengembangkan potensinya sebagai insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negaranya, bahkan kepada umat manusia seluruhnya.

Maka rakyat dan kerajaan perlulah kembali kepada fitrah kejadian dan kewujudannya untuk memelihara kesejahteraan fitrah insan dan memenuhi keperluannya.   Segala gerakan, perancangan dan pengurusan kekayaan perlulah menggerakkan rakyat dan kerajaan untuk memenuhi keperluan insan – yang ada hak dan tanggungjawabnya.

Semoga Allah swt meredai keduanya, rakyat dan kerajaan, yang saling nasihat-menasihati untuk tidak berbuat kedurjanaan, saling doa-mendoakan yang terbaik dan merealiti pelan-pelan yang didokumentasikan kemas, agar fitrah insan itu boleh menghasilkan yang terbaik untuk manusia sejagat.

Kembali kepada Fitrah Insan,

Selamat Menyambut Hari Raya Ei’dul Fitr 1434H/2013M

 

Rodziah Ismail

Merangkap Timbalan Ketua Wanita Pusat dan Ketua Wanita Selangor

Parti Keadilan Rakyat

—————————————————————————————————————–

Untuk sebarang pertanyaan mengenai kenyataan di atas, sila hubungi:
Media Rodziah Ismail, Tel.03-55447622, emel: media.rodziahismail@gmail.com

Program Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam

13 Jul

Program Meneladani Keunggulan

Tokoh Wanita Islam Di Sembilan

Daerah Di Selangor

– JULY 12, 2013

EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

YB Rodziah Ismail, Exco Kerajaan Negeri Selangor

SHAH ALAM 12 JULAI : Kira-kira 10,000 wanita dijangka memperoleh manfaat daripada program khusus anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dianjurkan sempena bulan Ramadan ini.

Menurut Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, program yang akan dilaksanakan di sembilan daerah itu bertujuan untuk menyemarakkan kehadiran bulan Ramadan menerusi penyampaian ilmu daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah bagi diaplikasikan dalam kehidupan, selaras dengan misi Pemberdayaan Wanita Selangor.

“Ramadan adalah waktu yang terbaik untuk wanita berintrospeksi (menilai atau memuhasabah diri) dan melonjakkan usaha serta menambah amalan lebih daripada biasa.

“Saya juga merasakan penting bagi wanita memanfaatkan kehadiran bulan Ramadan yang penuh barakah ini, bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri bahkan mendorong anggota keluarga bersama memberdaya kehidupan ke peringkat yang lebih baik dan mempunyai nilai tambah,” jelas Rodziah dalam satu kenyataan medianya.

Program yang diberi nama ‘Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam’ itu antara lain meliputi sesi solat sunat dhuha dan tasbih, zikir munajat, majlis tadarus, penyampaian ceramah dan tayangan video Informasi Rakyat; bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari.

tentatif-program-1

Rodziah berkata, bagi sesi ceramah, ia akan mengetengahkan tokoh-tokoh wanita Islam yang disebut dalam al-Quran terdiri daripada kalangan pembela keadilan, penasihat kepada pemimpin Islam dan Rasulullah sendiri, pejuang di medan pertempuran, ahli intelektual dan ahli perniagaan.

“Mudah-mudahan dengan ilmu yang diperolehi di dalam program Ramadan ini, wanita akan lebih serius untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat bagi menambah jatidiri serta memperoleh keberkatan di dalam kehidupan.

“Saya menyeru wanita di negeri Selangor untuk hadir memakmurkan Ramadan menerusi program Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam ini di daerah masing-masing,” ujar beliau yang juga Adun Batu Tiga.

Majlis pelancaran program peringkat negeri akan diadakan pada hari Ahad, 21 Julai 2013 di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Untuk mendapatkan tarikh dan maklumat lanjut program di setiap daerah, sesiapa yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi Asrul Yaman di talian 03-5544 7622 pada waktu pejabat.